Kami Minta Program Akademi Fantasia Dan Rancangan Yang Sewaktu Dengannya Diberhentikan
BUKAN pertama kali mufti bersuara memberi nasihat agar program realiti dihentikan. Alasan mereka, program hiburan berbentuk realiti televisyen bertentangan dengan nilai dan hukum agama serta menggalak rakyat membazir, selain menjurus ke arah berlakunya maksiat.
Beberapa mufti tampil dengan pendapat masing-masing dan yang pastinya mereka tidak bersetuju. Tiba-tiba mereka kembali dengan kenyataan yang boleh membuatkan kita menilai semula apa yang kita lalui setiap hari. Kalau tidak ada yang menjentik, tentunya kealpaan kita berterusan dan berpanjangan.
Secara rambang, kami melihat kemunculan kenyataan mereka ini berdasarkan kerancakan masyarakat yang membincangkan dunia realiti Akademi Fantasia 8 walaupun dalam masa yang sama, kami sedar masih banyak lagi program hiburan yang menggunakan konsep realiti dan penglibatan SMS ini.
Malah ada yang kata mereka timbul dek bahana topik politik tetapi kami tidak nampak pula ia berkait dengan politik. Biarpun betul ia ada kaitan tetapi secara peribadi, adalah lebih elok kalau mereka muncul begini. Sekurang-kurangnya memberi teguran atau ingatan kepada yang tidak ingat sebelum terus hanyut.
Sehubungan itu, banyak pula surat pembaca yang dihantar ke ruangan forum akhbar-akhbar utama negara. kami tertarik dengan tulisan Roslee Mardan dari Universiti Utara Malaysia Sintok, Kedah dengan tajuknya, Program realiti TV tak rangsang modal insan.
Dalam kiriman pendek itu, ada betulnya kata-kata Roslee yang mengaitkan isu program realiti TV dengan misi pembangunan modal insan.
"Pada zaman kini, manusia mempunyai kuasa modal sama ada dari sudut pengaruh mahupun wang. Kedua-duanya merangsang manusia melakukan apa saja asalkan mereka memperoleh ganjaran. Dalam konteks program realiti TV ini pengusaha stesen TV berpaksikan kepada keuntungan berlipat ganda.
"Pengusaha stesen TV lebih memahami hanya hiburan dapat meningkatkan "rating" dan perhatian masyarakat terhadap stesen TV. Justeru, stesen TV memaparkan program mengarut. Etika persembahan atau kandungan program juga bertentangan konsep sebenar media massa," katanya yang juga mahukan program realiti dihentikan.
Namun isu yang cuba dipanjangkan oleh mufti dari beberapa negeri ini cuma bertahan seminggu. Tidak panjang dan tidak tahu apa sebabnya walaupun ia sebenarnya amat bermakna dan penting dalam kita menjalani kehidupan seharian.
Kalau kata mufti yang dilantik oleh Sultan di setiap negeri sebagai penasihat agama Islam, tidak didengari, siapa lagi yang boleh kita percaya dan belajar tentang undang-undang yang melibatkan keraian masyarakat?
Memang kita mempunyai tokoh-tokoh agama tetapi kalau mufti tidak diendahkan, apatah lagi pakar agama yang lain? kami tidak faham dengan keadaan hari ini. Adakah itu tanda akhir zaman? Rasanya tidak perlu untuk kami panjangkan kerana ilmu agama di dada masih perlu diisi sebanyak mungkin. Tetapi fikirlah tentang Islam kita hari ini.
Lebih menarik apabila sebuah akhbar melaporkan yang beberapa orang kuat stesen televisyen bagaimanapun tidak berani mengulas mengenai kewajaran program realiti dihentikan. Macam mana boleh tidak berani? Tidakkah kita diajar, berani kerana benar takut kerana salah? Adakah kesalahan telah mereka lakukan atau kesalahan yang cuba dilindungi?
Inilah yang membuatkan kami menggeleng-geleng kepada tatkala membaca laporan itu. Bagaimanapun apabila cuba dikaitkan dengan program realiti di dalam isu melalaikan, ada beberapa pihak dari stesen TV yang berpendapat, bukan program realiti saja yang melalaikan tetapi banyak lagi aktiviti lain yang tidak kurang melalaikan seperti menonton wayang dan perlawanan bola sepak yang disiarkan di kaca televisyen.
Secara tidak langsung, kalau benar seperti yang dilaporkan, bermakna jurucakap itu mengaku yang program realiti melalaikan dan turut melalaikan juga program lain. Namun apakah tindakannya untuk kita membanteras kelalaian itu? Atau cukupkah untuk sekadar bercakap di akhbar bagi menyedapkan hati masing-masing?
Selalunya pihak penerbitan atau orang stesen TV menggunakan alasan untuk mencungkil bakat baru dalam dunia nyanyian atau aktiviti seni lain (kebanyakannya nyanyian) di atas kemunculan program realiti. Dulupun RTM juga menerbit pencarian bakat melalui Bintang RTM atau Bintang HMI, tetapi mereka tidak melibatkan undian SMS yang memerlukan penonton mengundi. Memang mereka ada keseronokan mengundi tetapi tanpa menghiraukan pembaziran yang sedang berlaku.
Dalam soal ini, siapa yang kaya sebenarnya? Ke mana duit yang dibeli untuk "top up" itu mengalir kalau tidak kepada syarikat telekomunikasi dan stesen TV? Dalam soal ini, syarikat-syarikat korporat itu memang bijak kerana tahu cabang mencari keuntungan. Namun kepada pengguna, ramai yang masih belum sedar dengan permainan ini sebenarnya.
Apabila bercakap tentang nawaitu sebenar usaha penerbitan program realiti, selalunya mereka bersandarkan elemen kekeluargaan kononnya program itu ditonton oleh semua ahli keluarga. Secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan sebuah famili.
Memang ada benarnya tetapi yang tidak benar, mereka tidak pula pernah mendedahkan keuntungan yang diperolehi di sebalik pencarian bakat dan perapatan hubungan keluarga itu. Orang kata, menyelam sambil minum air tetapi banyak mana kita minum air atau dalam mana kita menyelam. Banyak sangat minum air di air dalam, mungkin boleh membuatkan kita lemas.
Tidak dinafikan negara kita banyak lagi program realiti. Nak cari penarilah, nak cungkil bakal pereka fesyenlah dan macam-macam lagi termasuk yang ala The Apprentice yang nak cari bakat-bakat peniaga. Baguslah tu dan kalau boleh kita jangan bertanya atau mengukur darjah keikhlasan mereka dalam pencarian tersebut.
Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Operasi 8TV, berkata yang program realiti turut memberi harapan cerah kepada peserta seperti program terbaru terbitan 8TV iaitu Project Runway, Give Me A Job yang memberi peluang kepada peserta mencari tapak untuk mengembangkan bakat dimiliki.
"Banyak benda yang melalaikan bukan hanya program realiti. Sebaliknya ada juga program realiti yang dapat membina keyakinan diri peserta juga penonton. Malah, kita juga membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
"Kami berasa bersalah kalau ia melalaikan tetapi ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk membezakan apa yang baik dan yang buruk," katanya kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu.
Begitu juga dengan Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan apabila bercakap tentang pembaziran dan kelalaian.
"Bagi saya ia sebenarnya terpulang kepada individu sendiri. Kalau mereka minat, mereka akan tengok tetapi tidak semestinya mereka lupakan semua perkara. Mengenai undian yang dikatakan sebagai membazir, bagi saya tidak semua penonton yang mengundi hanya segelintir saja dan kebanyakannya kaum keluarga peserta saja," katanya seperti yang dilaporkan akhbar itu.
Tidak kurang juga dengan pendapat Pengarah Penerbitan TV (RTM), Rokiah Norma Mohd Ramli. Katanya, sebagai orang media mereka menyediakan banyak pilihan kepada penonton.
"Banyak program disediakan stesen televisyen, ia terpulanglah kepada penonton untuk memilih program yang mendatangkan faedah. Seperti program The Apprentice bagi saya ia mendatangkan manfaat kepada penonton kerana banyak ilmu yang boleh mereka dapat daripada program itu.
"Ia bergantung kepada penonton macam mana mereka menerima sesebuah program itu. Jika mereka pandai mengawal diri ia tidak akan jadi sehingga melalaikan," katanya.
Itu pendapat mereka, pendapat yang bertentangan dengan pendapat mufti-mufti. Tetapi timbul persoalan, adakah penonton kita sudah bersedia menerima program berbentuk realiti sebenarnya? Adakah mereka sudah bijak mengawal diri supaya tidak melalaikan?
Rasanya kalau tidak melalaikan, mufti tidak berani membuat kenyataan sesuka hati. Sekali lagi, peranan mufti sebagai penasihat agama bagi setiap negeri dan kalau pendapat mereka kita sangkalkan, apa hukumnya?
Adakah benar dunia sudah menghampiri akhir zaman? Adakah ini petanda-petandanya apabila yang jahil diataskan dan yang benar dibawahkan?
Oleh itu, kami meminta agar Program Akademi Fantasia dan rancangan yang sewaktu dengannya diberhentikan.
petitie tekenenpetitie tekenen